FOTO hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


DUA lelaki warga emas disahkan sebagai mangsa terbaharu wabak rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan, hari ini memaklumkan seorang daripada mangsa masih dalam rawatan dan pemerhatian pakar perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Manakala, seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HUS, Jumaat lalu.

“Mangsa pertama adalah seorang lelaki berusia 64 tahun yang tinggal di Kuching. Pada pertengahan September lalu, dia digigit oleh seekor anak anjing yang juga menggigit isterinya di ibu jari.

“Anak anjing itu baru dipungut dan dipelihara oleh pasangan suami isteri terbabit seminggu sebelum kejadian,” katanya.

Menurutnya, selepas mangsa digigit, pasangan terbabit melepaskan anak anjing itu di kawasan Matang, Kuching dan status terkininya tidak diketahui.

Katanya, selepas digigit anjing itu, mangsa hanya mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan.

“Pada 27 November lalu, mangsa mengalami sakit lutut serta lemah pada anggota bawah badan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Pada 2 Disember lalu, dia mendapatkan rawatan di HUS apabila keadaannya semakin serius dan dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit untuk pemerhatian lanjut, manakala isterinya tidak mengalami sebarang gejala dan vaksin anti-rabies sudah diberikan,” katanya.

Sementara itu, kes kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 74 tahun di Kuching.

Pada 24 November lalu, mangsa mengalami sakit di bahagian sebelah kiri badan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Pada keesokan harinya, dia dihantar ke HUS untuk rawatan lanjut kerana keadaannya bertambah teruk.

“Pada 28 November lalu, mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) namun meninggal dunia pada 3.15 pagi, Jumaat lalu dengan penyebab kematian sebagai clinical rabies,” katanya.

Sejak 30 Jun 2017, jumlah kes yang disahkan rabies di kalangan manusia di Sarawak adalah 14 orang termasuk 13 kematian dan satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 7 Disember lalu, kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan 56 buah kawasan di 11 bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies dengan hanya Limbang sahaja masih bebas rabies di kalangan haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:15 PM