MAYAT dibawa keluar dari lokasi. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


“SAYA sangkakan ada buaya, namun rupanya ada mayat terapung," kata seorang penduduk, Nor Intan Suraini Mohd Yatim, 36.

Nor Intan Suriani antara individu yang melihat penemuan mayat berhampiran Sungai Kolam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Pendang, hari ini.

Pada kejadian 7.30 pagi itu, mayat individu terbabit ditemui oleh orang awam yang sedang bersenam di kawasan berkenaan.

Mereka kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Nor Intan Suraini berkata, ketika itu, dia dan suami dalam perjalanan dari rumah di Kampung Titi Dua Lapis untuk menghantar anak lelaki mereka berusia dua tahun ke rumah bapa saudara.

“Saya nampak orang ramai tunjuk ke arah sungai. Pada mulanya saya ingat ada buaya tetapi suami kata ada mayat dalam sungai. Suami memberhentikan kereta untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Mayat itu masih lengkap berpakaian dan ketika itu, orang tak ramai lagi lalu di situ... cuma beberapa orang saja, sebelum polis sampai," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Nor Intan yang bekerja kerani di sebuah firma arkitek di Alor Setar berkata, kawasan itu menjadi tumpuan kaki pancing biasanya pada waktu malam.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang mengeluarkan mayat sebelum diserahkan kepada polis.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an.

“Kita percaya mangsa dipercayai terjatuh dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam sebelum mayatnya ditemui hari ini.

“Bagaimanapun kita hanya menunggu laporan bedah siasat di HSB untuk mengetahui identiti mangsa dan punca kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 1:03 PM