DR Mahathir menandatangani banner kempen Putra ketika merasmikan Himpunan Mahasiswa Graduan dan Profesional bersempena Karnival Pendidikan Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera 2018. FOTO Roslin Mat Tahir
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu orang Melayu dan Bumiputera berusaha lebih kuat memajukan diri bagi mengelak terus ketinggalan dengan kaum lain serta miskin di negara ini.

Dr Mahathir berkata, beliau melahirkan rasa malu dengan keadaan masyarakat Melayu yang masih ketinggalan di negara sendiri walaupun memiliki kuasa dalam pentadbiran.

"Kaum Melayu kini tertinggal dan kedudukan kita tidak menyenangkan. Jangan kata tidak kerana itu lah hakikat sebenarnya kerana kita tergolong dalam rakyat termiskin.

"Jika terus tinggal di luar bandar, kita tidak akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di bandar. Kita tidak bermusuh dengan kaum lain dan tidak mahu kaum lain sahaja duduk di bandar.

"Andai tiada kuasa politik dan keistimewaan, kita akan jadi lebih susah dari sekarang walaupun ada bantuan disalurkan termasuk biasiswa pendidikan sehingga ke luar negara.

"Bagi menjaga diri dan bangsa Melayu, kita kena usaha lebih dari orang lain. Jika berada di belakang, kita perlu berlari lebih kuat daripada orang lain di hadapan. Kita ini cekap dan pintar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Mahasiswa Graduan dan Profesional bersempena Karnival Pendidikan Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera 2018 (PUTRA 2018) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PUTRA 2018, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

PUTRA 2018 yang disertai 100 pempamer dari syarikat GLC, swasta dan agensi kerajaan itu menjadi platform belia mendapatkan informasi mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran, mendapatkan peluang pekerjaan dan menerokai bidang keusahawanan di peringkat kebangsaan.

Karnival yang julung kali diadakan selama sehari itu menyediakan pelbagai tawaran pendidikan, kerjaya dan pendedahan keusahawanan Bumiputera.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut dianugerahkan Tokoh Bumiputera Unggul 2018 atas sumbangannya kepada pembangunan kaum Melayu dan Bumiputera.

Dr Mahathir berkata, bangsa Melayu turut perlu menanamkan semangat cintakan negara ini yang sentiasa aman dan harmoni sehingga keadaan hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan penuntut UiTM berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), beliau berkata, kerajaan tidak memberikan hak dalam membezakan layanan kaum kerana tarafnya tidak sama.

"Jika tidak bagi orang Melayu peluang lebih daripada kaum lain, maka yang sudah cekap akan terus berjaya manakala yang tidak cekap akan mundur.

"Sebab itu, kita tolak ratifikasi (ICERD) kerana ia tidak membezakan taraf kaum di Malaysia. Kita tidak akan meminda Perlembagaan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 11:54 PM