Suzlee (tiga kiri) bergambar bersama Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek (dua kanan), Adibah (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Mohd Ali (tiga kanan) pada majlis Penyampaian Hadiah Ganjaran Meriah Kumpulan The Store sempena sambutan ulang tahun ke-50 di Taiping Mall. FOTO L Manimaran
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


NIAT murni seorang pensyarah membeli dua helai baju untuk bapanya sebelum pulang ke kampung mendapat balasan berganda apabila dua penyertaan daripada pembelian itu membolehkannya memenangi hadiah sebuah kereta Honda City 1.5s.

Pensyarah Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Suzlee Ibrahim, 51, memenangi hadiah pertama cabutan bertuah program Ganjaran Meriah Kumpulan The Store, sempena sambutan ulang tahun ke-50 pasar raya itu.

Suzlee berkata, sudah menjadi kebiasaannya membeli sesuatu sebagai hadiah sebelum pulang ke kampung di Terengganu dan beberapa bulan lalu singgah di The Store Plaza Alam Sentral bagi membeli baju untuk bapanya.

“Saya memang tidak percaya dengan cabutan bertuah tetapi bila anak menyuruh saya mengisi borang penyertaan dan dimasukkan dalam kotak disediakan, saya menurut sahaja.

“Apabila menerima panggilan telefon daripada seseorang memperkenal diri sebagai Adibah Noor menyatakan saya menang cabutan bertuah, pada mulanya saya tidak percaya sebab sekarang suara Adibah Noor pun orang boleh tiru, tapi selepas berhubung beberapa kali selepas itu, baru saya yakin,” katanya.

Suzlee ditemui media selepas menerima replika kunci kereta berkenaan daripada Adibah yang menjadi Duta Kumpulan The Store pada majlis penyampaian hadiah peraduan itu di Taiping Mall di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek; Penolong Pengurus Besar Wilayah Utara, Yap Choon Meng; Pengurus Cawangan Pacific Taiping Mall, Ooi Guat Kow dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Mohd Ali.

Selain Suzlee, empat lagi pemenang ialah Nur Farahana Mazlan dari Pahang yang memenangi tempat kedua iaitu sebuah kereta Proton Persona 1.6CVT diikuti Chin Kim Yong (Perak) yang memperoleh Perodua Myvi 1.3AT; Anis Farhanah Md Zawawi (Kuala Lumpur) yang mendapat Proton Saga 1.3CVT dan Ooi See Ming (Pulau Pinang) yang memenangi Perodua Axia 1.0AT.

Pada majlis itu, Kumpulan The Store turut melancarkan peraduan baharu iaitu ‘Kemeriahan Perayaan Ganjaran Hebat’ bermula 1 Disember lalu sehingga 3 Mac tahun depan.

Winky berkata, peraduan sempena Krismas dan Tahun Baharu Cina itu menawarkan Perodua Myvi 1.3G sebagai hadiah utama, Perodua Axia 1.0G (hadiah istimewa) dan 20 hadiah sagu hati berupa baucer bernilai RM1,000.

“Pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah Ganjaran Segera apabila mereka melakukan pembelian RM30 dalam satu resit,” katanya.

Pada majlis itu, Kumpulan The Store juga melancarkan program penebusan Siri Perkakas Masakan Grundstadt yang ditawarkan kepada pelanggan The Store dan Pacific bermula 23 November lalu sehingga 3 Mac tahun depan.

Winky turut menyampaikan cek sumbangan Kumpulan The Store berjumlah RM100,000 kepada Yayasan Budi Penyayang untuk membantu golongan kanak-kanak yang menghadapi masalah pendengaran menerusi program TUTUR.

Kumpulan The Store juga melancarkan kempen kebajikan baharu iaitu ‘Hope For Childhood Cancer’untuk membantu Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi meringankan beban kewangan keluarga kanak-kanak mengidap kanser.

From: Jalal Ali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 9:57 PM