NOORIANTI (kanan) dan Yusnita (kiri) ketika ditemui di Jabatan Forensik HTAR. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain

“IA kematian yang dicemburui kerana Muna 'pergi' selepas mengerjakan rutin membaca Yasin setiap Jumaat di pejabatnya,” kata Noorianti Zainol Abidin, 45, rakan karib kepada wanita yang meninggal dunia, hari ini ketika bekerja di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Dalam kejadian 10 pagi tadi, mangsa, Munatirah Yahaya, 45, yang berkhidmat sebagai Pengurus Komunikasi Korporat dikatakan tiba-tiba pengsan ketika menuju ke mejanya sebelum disahkan meninggal dunia.

Noorianti berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada ahli keluarga arwah, kira-kira 11 pagi.

"Sebelum kejadian, Muna melaksanakan rutin mingguannya membaca Yasin di pejabat pada setiap pagi Jumaat.

"Sejurus selesai, arwah kemudian menuju ke mejanya dan sempat memberitahu rakan sekerja yang dirinya tidak sihat dan mahu pergi ke klinik.

"Tidak lama kemudian, dia bagaimanapun rebah lalu pengsan sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui NSTP di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

Menurutnya, dia reda dan bersyukur kerana pemergian rakan yang dikenalinya sejak 25 tahun lalu itu pada hari baik iaitu Jumaat.

"Arwah disifatkan seorang yang baik hati, tegas dan sentiasa ada ketika diperlukan selain kerap membantu serta bersedekah.

"Dia bukan saja disenangi rakan zaman persekolahan malah di universiti dan pejabatnya," katanya sebak sambil memaklumkan punca sebenar kematian Allahyarham belum diketahui.

Sementara itu, seorang lagi rakan, Yusnita Yusof, 45, berkata, Muna sering kali berdoa dan memberitahu hasrat untuk meninggal dunia dalam keadaan baik.

"Muna selalu doa dan sebut: 'Aku hendak mati dengan mudah.' Kini, ternyata Allah memakbulkan keinginannya itu," katanya.

Allahyarham yang masih bujang dan bakal menyambut hari lahir pada 14 Disember ini akan dikebumikan di kampung keluarganya di Paroi, Negeri Sembilan.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 6:21 PM