OMAR (kiri) memeriksa kawalan kehormat sempena Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di Kepayan Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki dalang sindiket penipuan tiket penerbangan murah dengan membabitkan kerugian RM162,285.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata kedua-dua wanita berusia 33 dan 37 tahun itu ditahan pada 25 dan 26 November lalu di Kota Kinabalu susulan satu laporan polis dibuat mangsa yang mengatakan ditipu sindiket berkenaan.

“Polis menerima laporan daripada seorang mangsa pada 23 November lalu, apabila tiket ditempah dari syarikat menawarkan tiket penerbangan tambang murah dengan jumlah bayaran RM6,000 tidak diperoleh.

“Susulan laporan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah menahan dua wanita di Kota Kinabalu yang disyaki terbabit dalam kes sindiket penipuan tiket penerbangan tambah murah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket penipuan itu bergiat aktif di seluruh daerah di Sabah sejak Ogos lalu dan setakat ini sebanyak 71 laporan polis dibuat membabitkan kerugian RM162,285.

“Sindiket ini melantik beberapa ejen bebas dan menawarkan komisen kepada ejen sekiranya berjaya mendapat pelanggan. Ejen dilantik diberi komisen sebanyak RM50 hingga RM150 sekiranya memperkenalkan kepada pelanggan baru.

“Modus operandi sindiket ini dengan membuat promosi di media sosial Facebook, WhatsApp dan Telegram dengan menawarkan pakej tambang tiket kapal terbang pergi dan balik jauh lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kini kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan dan salah seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan sindiket pelaburan emas dan pernah dipenjara dua tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang awam agar berwaspada membeli tiket kapal terbang daripada syarikat yang betul saja... pastikan syarikat itu wujud dan sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 3:44 PM