GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


SEORANG peniaga di Maran sanggup memindahkan wang sebanyak empat kali daripada akaun simpanannya menjadikan jumlah keseluruhan RM9,810 bagi mendapatkan pinjaman RM20,000.

Namun, wanita berusia 44 tahun itu berputih mata apabila sebenarnya berurusan dengan individu daripada sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud di laman sosial Facebook (FB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada Selasa lalu mangsa yang tinggal di FELDA Kota Gelanggi, Maran melihat iklan tawaran pinjaman kewangan di FB.

“Mangsa kemudian berminat membuat pinjaman RM20,000 sebelum dihubungi seorang suspek yang meminta dia memberikan beberapa salinan dokumen peribadi.

“Mangsa kemudian diminta membuat pelbagai bayaran sebelum membuat empat kali transaksi ke dalam satu akaun diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas membuat semua transaksi itu, mangsa mengesyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang anggota RELA berusia 22 tahun di Kuantan menanggung kerugian RM3,005 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud di laman web.

Katanya, dalam kejadian pertengahan bulan lalu, mangsa melihat satu iklan pinjaman wang ditawarkan sebuah syarikat di laman web sebelum meninggalkan nama dan nombor telefonnya.

“Mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki bernama Chow sebelum menyerahkan gambar dokumen peribadi seperti kad pengenalan, penyata bank dan bil api.

“Mangsa diberitahu pinjaman berkenaan lulus sebelum diminta membuat beberapa bayaran untuk wang jaminan dan insurans sebelum wang pinjaman itu dimasukkan ke dalam akaunnya,” katanya.

Katanya, mangsa membuat tiga kali pindahan wang ke dalam satu akaun diberikan sebelum dia berasa ditipu dan membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

“Modus operandi kedua-dua kes ini adalah dengan menawarkan pinjaman tidak wujud dan mendorong pengadu memasukkan wang ke dalam akaun bank diberikan.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 12:05 PM