SURAT permohonan maaf yang diterima oleh Dr Hanafi (kiri). FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

SEORANG doktor terharu menerima surat permohonan maaf daripada murid yang memarahinya ketika dikhatankan di kliniknya di Tapah Road, Tapah.

Pengasas Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE), Dr Hanafi Yahya, 35, berkata, murid Tahun Satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendeta Zaaba, Tapah Road, Adam Amir Hakim, 7, menyerahkan surat itu kepadanya semalam.

Katanya, ketika dibawa ibu bapanya ke kliniknya minggu lalu, murid itu memarahinya sejak mula proses bersunat mahu dilakukan.

“Budak ini marah saya, kata saya jahat, halau saya keluar dari bilik itu (bilik khatan), malah dia jerit kata dia nak pulang dan bencikan doktor.

“Semalam, saya terima surat itu ketika dia datang ke klinik untuk membuat rawatan susulan dan saya terharu apabila membaca surat dan pengakuan ikhlasnya.

“Dia memohon maaf kerana marahkan doktor dan memaklumkan dirinya takut dan sakit ketika bersunat. Dalam surat itu juga dia maklumkan dirinya budak yang baik serta mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana merawatnya.

“Sepanjang kerjaya sebagai doktor, inilah kali pertama saya terima surat permohonan maaf daripada seorang pesakit yang menerima khidmat di klinik,” katanya ketika dihubungi NSTP di Tapah, hari ini.

Dr Hanafi berkata, beliau hanya tersenyum ketika murid berkenaan memarahinya dan menerangkan kepada murid berkenaan serta ibu bapanya bahawa prosedur dilakukan di kliniknya adalah biasa.

“Bagi saya murid ini mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi kerana dia sedar apa yang patut dilakukan apabila melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, tugas mengkhatankan kanak-kanak agak mencabar kerana pelbagai tindakan dan kata-kata dikeluarkan oleh kanak-kanak disebabkan rasa takut terutama selepas mendengar pelbagai cerita yang sengaja diada-adakan untuk menakutkan mereka.

Dr Hanafi memang dikenali di daerah Muallim sejak memperkenalkan perkhidmatan DOC MOVE dan Kad Anak untuk anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muallim.

Kad Anak memberi peluang kepada anak yatim menerima rawatan dan ubat-ubatan secara percuma di klinik milik isterinya, Dr Fariza Hanim Shahir, 35, yang terletak di Bandar Behrang 2020, selain menikmati diskaun di premis perniagaan yang berdaftar dalam perkhidmatan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 12:01 AM