Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


DUA sahabat masing-masing dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini atas dua tuduhan pecah masuk masjid pada September dan Oktober lalu.

Majistret Muhammad Yusoff Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Sirajuddin Suhaimi, 18, dan Mohammad Hazran Hasmadi, 19, selepas mereka mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa bersama-sama menceroboh dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di dalam Masjid Al Daudi Lemal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.30 pagi 5 September lalu, dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing satu tahun, bermula tarikh tangkap iaitu 2 Disember lalu untuk Muhammad Sirajuddin, manakala 5 Disember pada Mohammad Hazran.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menceroboh dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di dalam kawasan Masjid Mukim Kubang Panjang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.30 pagi 14 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama.

Untuk kesalahan tu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun kepada kedua-dua tertuduh, dan hukuman berjalan selepas hukuman pertama tamat.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Casie Chua Suan Cheng.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 10:55 PM
ANGGOTA polis mengiringi dua tertuduh di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini. Foto SYAMSI SUHAIMI