Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) tidak mengeluarkan sebarang arahan pemula untuk melaksanakan Ops Yaman 2.

Sehubungan itu Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mengakui kecewa kerana bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak hadir ke Dewan Rakyat bagi membincangkan isu terbabit.

“Saya kecewa bekas Menteri Pertahanan tidak hadir hari ini walaupun beliau kata MKN pernah buat keputusan.

“Selepas semakan, kita dapati MKN tidak pernah menghasilkan ‘initiating directive’.

“Bila satu operasi perlu dilaksanakan, ia perlukan initiating directive daripada MKN atau dalam kes ini, ‘directive’ (arahan) pemula daripada Jemaah-Jemaah Panglima-Panglima.

“Bagaimanapun, tidak ada sebarang initiating directive daripada Jemaah Menteri atau MKN secara bertulis.

“Saya minta kalau bekas Menteri Pertahanan, kalau boleh lebih baik beliau datang ke Dewan Rakyat dan kita bincang mengenai isu yang serius ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Liew berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri ditubuhkan bagi mengenal pasti sama ada operasi terbabit mematuhi prosedur kerajaan.

Beliau berkata, jawatankuasa yang pertama kali ditubuhkan itu bertujuan mengkaji atur gerak trup dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet.

“Ini adalah tugasan pertama jawatankuasa dan kementerian akan memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

“Kita berharap siasatan telus dapat memberi keyakinan kepada rakyat selain memperbetulkan sistem supaya apa yang berlaku tidak akan berulang.

“Kami berbincang mengenainya kerana operasi ini memang tak betul dan saya tak nak panjangkan isu ini,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata operasi yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet pentadbiran terdahulu, diketuai dan diluluskan MKN.

Penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 9:15 PM