Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my

POLIS menahan seorang lelaki berusia 43 tahun selepas disyaki mendera anaknya yang berumur berusia 10 tahun di Balai Polis Semenyih, Kajang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof berkata, suspek yang juga seorang sami di sebuah kuil di Semenyih ditahan kira-kira pada jam 9.30 pagi untuk membantu siasatan.

“Semalam, pada jam 10.30 malam, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan daripada seorang doktor Jabatan Kecemasan Hospital Serdang selepas menerima seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan lanjut oleh doktor kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, terdapat kecederaan fizikal iaitu kesan luka di bahagian kepala, badan serta kaki dan tangan, selain terdapat kesan lebam di seluruh badan si mati.

“Bedah siasat kemudian mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul yang berganda pada keseluruhan badan, mayat mangsa dicam oleh ibu dan adiknya di Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, si mati adalah anak kedua dari tiga orang adik-beradik dan ketiga-tiga mereka di bawah jagaan suspek selepas isteri suspek keluar daripada rumah sejak dua bulan lalu.

“Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kajang, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Azlinda Abtu di nombor 012-6853281,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 8:57 PM