AHMAD Faizal (tengah, depan) mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah, Lembaga Air Perak (LAP) di Ibu Pejabat LAP di Ipoh, hari ini. Foto MUHAIZAN YAHYA
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KERAJAAN Perak mengumumkan bonus dua setengah bulan gaji kepada 1,100 kakitangan Lembaga Air Perak (LAP) membabitkan nilai keseluruhan bayaran bonus RM6.7 juta yang akan dibayar sebelum sambutan Krismas ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian bonus itu susulan prestasi LAP amat memberangsangkan dengan anggaran keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM51.47 juta pada 31 Oktober lalu.

Katanya, jumlah bonus itu adalah sama seperti tahun lalu dan diharapkan warga LAP dapat berkongsi rezeki diperoleh bersama golongan yang memerlukan termasuk membuat sumbangan kepada fakir miskin.

“Mesyuarat hari ini membincangkan berkenaan bonus buat kakitangan LAP yang bersetuju memberikan dua setengah bulan gaji.

“Di masa akan datang kita memikirkan untuk memberikan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepada kakitangan di mana pemberian bonus kelak akan diberikan mengikut prestasi pekerja dan setiap tahun kita ada buat perubahan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat LAP di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, tahun lalu jumlah bonus yang sama diberikan, namun setengah bulan daripadanya disumbangkan kepada golongan memerlukan di mana ia dipotong hampir RM100,000 untuk disumbangkan kepada fakir miskin.

“Tahun ini kita bagi juga dua setengah bulan bonus, namun kita ingin mendidik kakitangan supaya menyumbang sendiri kepada pihak memerlukan atau keluarga sendiri.

“Ini kerana warga LAP sangat beruntung di mana ia dapat membuat keuntungan serta mampu memberi bonus dan kakitangan perlu sedar jika kita rasa diri susah sebenarnya adalah yang lebih susah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan prestasi jualan air LAP turut meningkat sebanyak 2.3 peratus membabitkan jualan sebanyak RM285.60 juta sehingga 31 Oktober lalu berbanding RM279.10 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Bilangan akaun pengguna juga meningkat dari 770,545 kepada 786,271 bagi tempoh sama.

“Pemberian subsidi air untuk rakyat miskin pula sepanjang 11 tahun pelaksanaannya bermula 2008, LAP sudah membelanjakan RM10.2 juta sehingga 26 November lalu membabitkan seramai 11,555 keluarga.

“Program penurunan tarif air melalui pemberian diskaun pula adalah sebanyak RM1.92 juta bermula 1 Ogos hingga 26 November lalu, manakala subsidi rumah ibadat yang diberi mulai 2013 hingga 26 November lalu adalah sebanyak RM0.71 juta membabitkan 1,944 rumah ibadat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:49 PM