Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my

SIASATAN Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melabuhkan tirai untuk tahun ini.

Hari ini, PAC menerima keterangan saksi ketiga prosiding iaitu bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Saadatul Nafisah yang bertanggungjawab menyimpan laporan asal audit 1MDB diminta menceritakan secara terperinci bagaimana pindaan melalui pengguguran beberapa perenggan itu dilakukan.

Katanya, PAC berpuas hati dengan keterangan padat bekas pegawai audit kanan terbabit yang membantu jawatankuasa itu untuk membuat kesimpulan sama ada laporan audit 1MDB itu diubah atau tidak.

“PAC bertanyakan situasi bagaimana pindaan ke atas laporan audit itu dijalankan dan semua keadaan melingkari senario pada waktu itu.

“Saya tidak dapat memaklumkan maklumat atau keterangan diberikan secara terperinci kerana kekangan Peraturan Mesyuarat.

“Bagaimanapun, kenyataan diberikan Saadatul Nafisah amat berguna kepada PAC dan membantu kami membuat kesimpulan,” katanya sambil menambah semua bukti dikemukakan bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan itu dalam bentuk keterangan lisan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan prosiding PAC mengenai dakwaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan Saadatul Nafisah di Bangunan Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, wanita itu dinamakan sebagai individu bertanggungjawab menyimpan satu salinan asal laporan audit 1MDB sebagai bukti untuk mendedahkan laporan akhir yang dibentangkan di Dewan Rakyat, sudah diubah.

Saadatul Nafisah yang menjalankan audit 1MDB, dilapor diminta memusnahkan salinan itu namun membuat keputusan menyimpan dan menyerahkannya kepada Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad, selepas bersara.

PAC sebelum ini memanggil dua saksi utama iaitu bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kelmarin dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad semalam.

Pada 25 November lalu, Madinah dalam satu kenyataan media mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Wong berkata, PAC akan menyambung prosiding membabitkan laporan audit 1MDB itu pada Januari tahun depan dengan memanggil saksi lain, antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Wong tidak menolak kemungkinan PAC memanggil Najib yang didakwa mengarahkan pengguguran beberapa perenggan dalam laporan audit 1MDB, antaranya membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:44 PM