Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


“SAYA rasa saya tak ada musuh,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai nota ugutan bunuh terhadapnya bersama bangkai lembu yang diletak di depan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, Ahad lalu.

Nota ugutan mengandungi namanya itu antara lain menyebut ‘lembu aku mati kemalangan, engkau aku bunuh, engkau tak ada otak’ yang ditulis dengan warna merah.

Salahuddin yang pertama kali menerima ugutan bunuh, mulanya beranggapan ia hanya ‘main-main’, terutama selepas melihat bangkai lembu berkenaan dipakaikan baju merah dengan logo PKR.

Bagaimanapun, beliau menyedari ugutan itu sebagai perkara serius selepas polis memaklumkan ia membabitkan kes ugut bunuh terhadap seorang menteri.

“Paling penting, saya nak tahu apa motif sebenar sebab saya rasa saya tak ada musuh, saya tak bergaduh dengan orang dan saya tak pernah menimbulkan pergaduhan, tetapi tiba-tiba menerima ugutan sebegini.

“Semalam keterangan saya diambil oleh polis di Muar dan diberitahu suspek sudah direman.

“Saya tak boleh komen lanjut dan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini sambil mengakui tidak mengenali suspek yang juga penduduk tempatan.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dilaporkan berkata, lelaki yang membuat ugutan itu direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kamaluddin turut dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila permohonannya meminta bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ditolak.

Ditanya mengenai penolakan bantuan itu, Salahuddin mengakui menerima banyak permohonan setiap kali pulang ke Simpang Jeram, namun tidak pasti sama ada pernah menolak permohonan suspek.

Ditanya sama ada beliau takut dan lebih berhati-hati susulan ugutan bunuh itu, Salahuddin menegaskan masih boleh bertugas seperti biasa.

“Saya hidup macam biasa sahajalah, ada seorang pegawai pengiring. Tidak rasa takut atau trauma, masih boleh bercakap, bertugas macam biasa, tak ada cuti rehat, termenung pun tidak,” katanya.

Berita berkaitan

Lelaki ugut bunuh Salahuddin Ayub ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:44 PM