STATUS yang dimuat naik Chong Wei menerusi Facebook menyatakan sokongan kepada usaha penjelajah Qobin untuk menyertai Ekspedisi Fjallraven Polar 2019 FOTO ihsan Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Wan Jailani Razak
wanjai@nstp.com.my


PENJELAJAH Grand Slam pertama negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin terus berusaha meraih undi untuk melayakkan beliau terpilih ke Ekspedisi Fjallraven Polar 2019.

Usaha Qobin untuk menyertai acara luncur salji sejauh 300 kilometer di Norway sehingga kini turut mendapat sokongan wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidi dan penceramah Islam terkemuka dunia, Dr Zakir Naik.

Qobin berkata, sebelum itu, beliau turut mendapat sokongan beberapa artis dan atlet terkenal negara antaranya Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Azizulhasni Awang, Farahan Ann Hadi, Zizan Razak, Mat Redho, Amar Baharin dan Black Mentor.

“Alhamdulillah, saya kini berada pada kedudukan kedua Asia Oceanic di belakang peserta Indonesia dan undi kesembilan tertinggi dunia.

“Saya perlu bersaing dengan peserta dari lapan negara Asia Oceanic lainnya,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Ekspedisi Polar Fjallraven 2019 akan berlangsung di Norway dan Sweden pada tahun depan dengan 20 peserta bertuah dari 10 bahagian dunia akan ditaja sepenuhnya oleh pihak Fjallraven Polar bagi memberi peluang kepada peserta melalui pengalaman luncur salji dengan suhu boleh mencecah sehingga negatif 40 darjah Celsius.

Untuk terpilih, peserta yang mendapat undian tertinggi di setiap benua, akan secara automatik terpilih untuk menyertai ekspedisi berkenaan, manakala peserta kedua tertakluk kepada undian pihak juri.

Qobin berkata, walaupun ekspedisi itu tidak seteruk penjelajahan berski di Kutub Utara dan Kutub Selatan, demi nama Malaysia agar tidak tertinggal, beliau mencuba peluang itu dan meletakkan pengalaman yang ada agar diberikan ruang untuk terpilih.

Di Malaysia, katanya, lebih 100 peserta yang mendaftar dan beliau kini berada pada kedudukan kedua di belakang peserta Indonesia.

“Saya berharap rakyat Malaysia terus mengundi saya untuk mewakili Malaysia sebelum tarikh tutup undian pada 14 Disember ini di link http://bit.ly/qobinforpolar atau http://bit.ly/qobin4mas dan undian adalah percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 7:12 PM