Anwar semasa membentangkan usul menolak ICERD sebelum ditolak Speaker Dewan Rakyat.
Nur Lela Zulkipli
nurlela@nstp.com.my

YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini menolak usul Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH PKR-Port Dickson) untuk membahaskan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Mohamad Ariff berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat Perintah 18.

“Seperti diketahui, perkara ini memerlukan tiga syarat yang perlu dipenuhi berdasarkan beberapa keadaan. Saya tidak menganggap perkara ini perlu dibincangkan dengan kadar segera.

“Walaupun saya membenarkan Port Dickson (Anwar) membangkitkan usul ini supaya orang ramai faham isu kandungan usul, saya masih menolaknya,” katanya pada sidang selesai sesi soal jawab lisan, hari ini.

Menjelaskan usul berkenaan, Anwar berkata, keputusan untuk membincangkan perkara itu di Dewan Rakyat bertujuan melegakan kekeliruan dan pandangan berbeza rakyat yang timbul daripada kebimbangan mengenai perkara berkenaan.

“Saya kerap ditanya adakah saya bersama Pakatan Harapan (PH) apabila ada suara mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu atau Islam sebagai agama Persekutuan atau hak keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

“Saya ingin tegaskan atas nama PH, perkara ini sudah dipersetujui dan ditandatangani, sekali gus tidak mungkin dirombak oleh sesiapa,” katanya.

Anwar berkata, ada pihak berpendapat penolakan ratifikasi ICERD menggambarkan seolah-olah kerajaan ‘menghalalkan’ amalan diskriminasi.

Justeru, katanya, apa yang ditegaskan ialah sebagai negara, keadilan dijadikan tonggak utama dan menolak segala bentuk diskriminasi.

Beliau berkata, Malaysia tidak perlu bersikap apologetik dalam penolakan ratifikasi ICERD dan perlu berdiri atas ketegasan yang mana Perlembagaan Persekutuan sudah cukup kukuh untuk menjamin prinsip hukum yang menolak diskriminasi.

“Kebijaksanaan kita membincangkan ICERD ini adalah kerana memahami sejarah mengapa Afrika berkembang ketika mengesahkan ICERD.

“Kita fahami pengalaman mereka di bawah pemerintahan kejam aparteid Afrika yang melaksanakan diskriminasi kaum serta menindas rakyat,” katanya.

Anwar berkata, rakyat perlu memandang positif tindakan negara yang meratifikasi ICERD kerana pertimbangan pihak berkenaan adalah kelaziman dihadapi.

Katanya, ia berbeza di negara ini yang mahu memberi pandangan lebih positif.

“Apa yang menjadi masalah kini adalah apa yang berlaku di Israel. Justeru, saya ulangi penegasan supaya tiada kekeliruan dalam kalangan rakyat. Tiada suara kerajaan yang mempertikai muafakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 5:05 PM