Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


TEKONG cedera di peha, selepas bot tunda yang dikendalikannya ditembak oleh sekumpulan lelaki di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, bot tunda Mantran 2 yang membawa 13 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah bot berwarna hitam dinaiki empat individu dengan dua daripadanya memiliki senjata api dipercayai M16 menghampiri bot tunda terbabit.

Lelaki yang memegang senjata api itu kemudian dipercayai melepaskan tembakan secara rambang sebelum beredar.

Akibat tembakan itu, tekong bot tunda warga Indonesia cedera di bahagian paha selepas terkena tembakan, manakala semua kru tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, tekong lelaki berusia 40-an itu kemudian dibawa ke Jeti Awam Tambisan, Lahad Datu sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Tekong bot tunda cedera di bahagian paha, namun keadaannya stabil dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

“Semua kru dan bot tunda kini diiring ke Jeti Marin Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat motif kejadian berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian sama ada cubaan merompak atau culik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:48 AM