FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my


IBU beranak lima dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang milik seorang pembantu tadbir, tahun lalu.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap suri rumah, Zurina Sharipin, 36, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menolong menyembunyikan wang RM8,000 milik Zalina Omar, 48, dengan sebab untuk mempercayai bahawa wang itu bukan miliknya di CIMB Bank Bangsar, Brickfields, Kuala Lumpur pada 10.14 pagi, 28 Mac 2017.

Tuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu dia tidak mampu membayar denda dan memohon dikenakan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:57 PM