LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


POLIS masih menyiasat penemuan rangka manusia yang ditemui di bawah pokok pisang di Kampung Saga, Jalan Yayasan Kibagu, Manggatal, Kota Kinabalu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati rangka manusia itu dalam keadaan terlentang di bawah pokok pisang di kawasan semak dengan lengkap berpakaian.

“Pemeriksaan di kawasan lokasi kejadian tidak menemui sebarang peralatan atau tanda-tanda perlakuan jenayah.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan keluarga mangsa terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, rangka manusia itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat.

“Bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Siasatan lanjut diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Semalam, seorang lelaki yang sedang mencari jantung pisang terkejut selepas melihat rangka manusia dibawah pokok pisang.

Rangka manusia itu lengkap berpakaian warna merah, seluar jeans dan berselipar.

Susulan penemuan itu, lelaki terbabit kemudian memaklumkan kepada pihak polis.

Berita berkaitan

'Patutlah lari lintang-pukang...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:32 PM