ANTARA individu yang direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. FOTO Sairien Nafis
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


SERAMAI 15 lagi individu yang ditahan untuk membantu siasatan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya, direman antara dua hingga lima hari.

Majistret Salamiah Salleh mengeluarkan perintah reman bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap kesemua suspek.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah) Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 40 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan mereka memakai baju lokap berwarna ungu dan jingga itu diiringi anggota polis.

Sementara itu, Salamiah turut melanjutkan tempoh reman antara satu hingga dua hari terhadap 18 suspek bagi membantu siasatan kes sama.

Setakat ini, seramai 70 individu direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes rusuhan yang mendapat perhatian awam itu.

Antara yang direman sejak Selasa minggu lalu untuk membantu siasatan termasuk penasihat undang-undang syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City), yang juga dipercayai menjadi dalang insiden kekecohan itu.

Dalam kejadian awal pagi 26 November lalu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang diserang perusuh dilaporkan masih berada di dalam tahap kritikal namun stabil di Institut Jantung Negara (IJN).

One City Development adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 7:07 PM