SEBAHAGIAN pendatang asing yang ditahan ketika bekerja di kilang melebur besi di Sungai Karangan, Kulim, petang semalam. FOTO ihsan JIM Kedah.
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my


SERAMAI 73 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita yang bekerja di kilang melebur besi hanya tergamam ketika premis di Sungai Karangan, Kulim, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata pihaknya yang menerima aduan awam menyerbu kilang berkenaan pada 10.30 pagi selepas disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit.

Katanya, ketika serbuan dibuat semua PATI itu sedang leka bekerja sehingga tidak menyedari kehadiran 33 anggota JIM diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan negeri, Muhammad Ali Abdullah, yang sudah mengepung kawasan itu.

“Pemeriksaan ke atas 83 pekerja kilang berkenaan mendapati 73 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah, menetap lebih masa dan melanggar syarat pas diberikan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 56 tahun adalah 29 warga China termasuk seorang wanita, 10 Myanmar (10), Bangladesh (21), Nepal (8) dan India (5),” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Zuhair berkata, ketika serbuan terdapat penyelia dan kerani warga tempatan dan mereka diberi surat saman bagi tindakan susulan ke atas pemilik kilang.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Belantik dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:08 PM