FOTO Hiasan
Hazira Ahmad Zaidi dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin
cnews@nstp.com.my


MURID sekolah rendah menjadi sasaran baharu kepada kegiatan pengedaran dadah di Kelantan.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, murid sekolah rendah tahap dua berusia antara 10 hingga 12 tahun adalah sasaran baharu.

Katanya, mereka mudah menjadi sasaran kerana kurang maklumat dan tidak tahu bahayanya dadah serta kesan akibat pengambilannya apabila dewasa kelak dan ditambah keinginan untuk mencuba.

“Pendekatan yang kami lakukan kepada murid-murid ini adalah dengan mengadakan Program Intelek Asuhan Rohani dan pihak sekolah memilih murid yang berisiko atau daripada keluarga yang bermasalah.

“Sekiranya terdapat murid sekolah rendah atau pelajar sekolah menengah yang didapati terbabit dengan masalah penagihan, mereka boleh mendapatkan rawatan dan pemulihan di Klinik Cure & Care (CCRC) yang menempatkan penagih yang berusia 21 tahun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Amanat Mufti Kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) di Dewan Kenanga, Hotel Al Ansar, di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kota Bharu, Ir Nohaimi Ismail.

Rohayu berkata, jumlah keseluruhan penagih dadah di seluruh negeri adalah seramai 8,115 orang dan di daerah Kota Bharu saja merekodkan 1,597 penagih sehingga Oktober tahun ini.

“Daerah Kota Bharu mencatat bilangan penagih dadah yang paling tinggi kerana penduduknya yang ramai, selain daerah yang bersempadan dengan negara jiran seperti Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.

“Daripada jumlah keseluruhan penagih dadah di seluruh negeri, 99 peratus adalah dalam kalangan lelaki dan satu peratus atau 111 orang adalah wanita.

“Kebanyakan penagih dadah wanita terjebak dengan najis dadah disebabkan pujukan serta kepercayaan kepada suami atau teman lelaki untuk membuktikan kasih sayang dan cinta kepada pasangan,” katanya.

Katanya, penagihan dadah di negeri ini amat membimbangkan dan negeri kedua tertinggi selepas Kedah.

“Pihak kami, mengesan terdapat ramai penagih baharu dan masih muda yang terjebak dengan najis dadah dan berharap masyarakat membawa mereka kepada Klinik Cure & Care (CCRC) melalui AADK,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:02 PM