HABIBI (dua dari kanan) menunjukkan barang dirampas berkaitan kegiatan perjudian pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Junaidi Ladjana.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


POLIS Kota Kinabalu menahan 108 individu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian di sekitar bandar raya ini sepanjang tempoh Januari hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penahanan itu hasil 106 serbuan di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu dalam usaha membanteras perjudian.

“Daripada jumlah tangkapan itu, 81 adalah lelaki manakala 27 wanita berusia antara 16 hingga 59 tahun dan kebanyakan tangkapan adalah warga tempatan yang terbabit dalam aktiviti judi seperti nombor ekor tanpa lesen (4D) dan judi atas talian.

“Polis turut merampas 13 komputer riba, sembilan set komputer, 82 telefon bimbit dan wang tunai RM101,914. Nilai keseluruhan rampasn berjumlah RM152,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim.

Habibi berkata, seramai 29 individu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, antara yang dituduh adalah pemilik premis, runner dan pemain judi manakala selebihnya akan dituduh dalam masa terdekat.

“Kebanyakan serbuan adalah judi 4D tanpa lesen yang kami berjaya melumpuhkan sepenuhnya dan saya beri jaminan tiada lagi premis perjudian itu di bandar raya ini.

“Ini kerana kita amat mengambil berat dan komited bagi membasmi kegiatan perjudian di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, Ops Dadu itu akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan kegiatan perjudian dapat dibanteras habis-habisan.

“Saya berharap orang ramai di bandar raya ini memberi kerjasama dengan pihak polis dalam memastikan judi di daerah dibanteras habis-habisan.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai di daerah ini kerana sedikit sebanyak membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:39 PM