Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


EMPAT lelaki, termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) terbabit dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.

Empat tertuduh itu, Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26; Irwan Nordin, 38; pegawai keselamatan One City; Mohd Khairi Abd Rashid, 24 dan Rozaihan Jamaludin, 38.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan, di USJ 25, Seafield, dekat Petaling Jaya, antara jam 2 pagi dan 5 pagi, 26 November lalu.

Dakwaan kes terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mereka dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 17 Januari 2019 untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, seorang lelaki, T Thinekaran, 34 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Datuk K Tanggeswaran, 23, dengan cara menumbuk mangsa di bahagian kening sebelah kiri di tepi jalan Lebuhraya Damansara-Puchong, USJ, dekat Petaling Jaya, jam 4.30 petang, pada tarikh sama.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan kes diketuai Datuk Salim Hamid @ Soib.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 3:01 PM
SUSPEK dibawa ke mahkamah. FOTO Sairien Nafis