MAYAT mangsa. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya
cnews@nstp.com.my


PENGGUNA Terminal Bot Ekspres Sibu, di Sibu, gempar dengan penemuan mayat lelaki terapung berhampiran sebuah jeti, hari ini.

Difahamkan, mayat tanpa pengenalan diri itu ditemui seorang pemandu bot laju sebelum memaklumkannya kepada pengurusan terminal berkenaan.

Pihak berkenaan kemudian melaporkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pemeriksaan mendapati mangsa memakai seluar jeans gelap dan baju lengan panjang berwarna gelap.

“Si mati mungkin rakyat tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG pada lengannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas dan dipercayai berada dalam sungai, lebih dari tiga hari.

Katanya, setakat ini, tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 2:36 PM