GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SEORANG anggota tentera ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di Bandar Baru Batu Kawa, Padawan, pagi semalam.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa sedang nyenyak tidur apabila seorang lelaki tiba-tiba menceroboh bilik tidurnya.

Sumber berkata, sebaik menghampiri mangsa berusia 27 tahun itu, suspek yang dalam keadaan bogel, bertindak memegang tangan kiri mangsa..

“Mangsa yang terkejut menjerit sekuat hati, namun suspek tiba-tiba menumbuk muka wanita yang bekerja di sebuah pusat rawatan kecantikan itu.

“Mendengar jeritan mangsa, rakan serumah bergegas ke biliknya dan menarik mangsa keluar sambil menghalau suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya menendang perut rakan serumah mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta.

Katanya, mangsa yang lebam di mata kiri selepas ditumbuk suspek dan rakan serumahnya yang lebam di badan akibat ditendang, kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Batu Kawa, pagi semalam.

Bertindak atas laporan itu, polis menahan seorang anggota tentera berusia 25 tahun di Kota Sentosa pada 10.15 malam tadi kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Adil Bolhassan yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal mendapati suspek berada di rumah itu kerana mengikut rakannya.

“Ketika kejadian suspek dalam keadaan mabuk dan datang ke rumah berkenaan bersama dengan seorang rakannya iaitu teman lelaki rakan serumah mangsa.

“Selepas dia cuba mencabul dan menumbuk muka mangsa serta menendang perut teman serumah mangsa, suspek melarikan diri menaiki kereta rakannya,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 3:20 PM