DR S Streram dikatakan nama paling popular dan paling layak menjadi calon PKR bagi PRK DUN Rantau. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com


PEREBUTAN untuk menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dikatakan sengit membabitkan lima pemimpin PKR Cabang Rembau, termasuk pasangan suami isteri.

Selain timbalan ketua cabang berkenaan, Dr S Streram yang disebut-sebut sebagai pilihan utama, ketua cabang itu, R Tanggam yang juga seorang kontraktor turut menawarkan diri.

Sumber berkata, isteri Tanggam yang juga ketua wanita cabang berkenaan, K Bathmavathi turut diletakkan sebagai pilihan calon, malah mendapat sokongan suaminya yang mengeluarkan kenyataan media meminta kepemimpinan tertinggi parti memilih beliau.

“Selain itu, seorang lagi pencabar mereka bukan calang-calang orang iaitu peguam terkenal, Datuk Hanif Hasan yang juga naib ketua cabang berkenaan dan terkenal dalam di kalangan masyarakat Melayu kawasan Rembau.

“Calon terakhir disenaraikan adalah ahli jawatankuasa PKR Cabang Rembau iaitu Saparin Musa. Nama kelima-lima individu terbabit sudah dihantar kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk dipertimbangkan sebagai calon PRK DUN Rantau,” katanya kepada NSTP di Seremban, hari ini.

Sumber itu mendakwa, biarpun Dr Streram dikatakan individu yang layak menjadi calon kerana berusaha memperjuangkan haknya yang dinafikan apabila tidak dibenarkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau tetap menerima saingan sengit.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, perebutan menjadi calon bagi PRK DUN Rantau menjadi bualan hangat dalam kalangan ahli.

“Ini kerana lima individu terbabit bersaing sesama sendiri untuk bergelar calon.

“Kini terpulang pada pucuk pimpinan untuk memilih. Tapi buat masa ini, nama popular di sini adalah Dr Streram dan Hanif,” katanya.

NSTP semalam melaporkan PKR Negeri Sembilan berharap isu perebutan untuk menjadi calon bagi PRK DUN Rantau dalam kalangan pemimpin PKR Cabang Rembau tidak menjejaskan persiapan jentera parti peringkat bawahan.

Pemangku Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun, berkata isu itu timbul kerana beberapa pemimpin cabang menawarkan diri untuk menjadi calon bagi kerusi DUN berkenaan.

Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:46 AM