MOHAMAD Yunus (berdiri kiri) bersama Mazlina (berdiri kanan) serta anak mereka bergambar di hadapan rumah didiami di Kampung Pokok Gelugur, Mukim Bakai, Baling. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin
cnews@nstp.com.my


AKIBAT kesempitan hidup, enam beranak terpaksa berhimpit tempat tidur di rumah kecil di Kampung Pokok Gelugur, Mukim Bakai, Baling, sejak setahun lalu.

Situasi itu terpaksa dihadapi keluarga Mohamad Yunus Jaafar, 47, dan isteri, Mazlina Saidin, 45, serta anaknya, Mohd Ashraf, 22, Mohd Haikal, 18, Aidil Azham, 11, dan Mardiah, 5.

Mohamad Yunus berkata, sebelum ini dia tinggal bersama keluarga mentuanya, namun mereka tekad hidup berasingan kerana rumah berkenaan turut didiami dua keluarga lain hingga menjadi terlalu ramai.

Dia kemudian mengambil keputusan membeli rumah papan kecil berkenaan dengan harga RM500 untuk berteduh meskipun terlalu sempit dan terpaksa berhimpit tempat tidur.

“Kami anak beranak berhimpit tempat tidur kerana keluasan rumah hanya empat meter sahaja.

“Kalau memasak isteri terpaksa menggunakan dapur yang diletak di luar rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohamad Yunus berkata, rumah papan dibelinya itu dibina menggunakan bahan terbuang dan keadaan dindingnya sudah reput dan atap zink berlubang.

Katanya, dia mengutip kayu hutan untuk membina dapur kerana tidak berkemampuan membeli bahan binaan rumah.

“Malah saya gunakan tayar lori terbuang sebagai tangga rumah kerana sebelum ini anak sering jatuh mengguna tangga kayu.

“Saya memang teringin membina rumah lebih baik, tetapi kesempitan hidup membataskan segalanya kerana hanya bekerja mengambil upah melakukan pelbagai kerja.

“Pendapatan diperoleh cukup-cukup untuk perbelanjaan dapur dan wang belanja anak masih bersekolah.

“Mujurlah kami menggunakan air bukit dan hanya membayar RM4 sebulan bagi kemudahan itu manakala bekalan elektrik menumpang rumah jiran,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohamad Yunus di talian 013-9287209 atau memberi sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 02126-29-00021095-5.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:24 AM