PENERIMA sumbangan bergambar pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Khas Kembali Ke Sekolah di Pasaraya Besar Giant Falim, Ipoh, hari ini. Foto MUHAIZAN YAHYA
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


KERIANGAN terpancar pada wajah 200 murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusing ketika memilih kelengkapan sekolah di Pasar Raya Besar Giant Falim, Ipoh, hari ini.

Mereka terdiri daripada anak golongan berpendapatan rendah, anak yatim dan asnaf berpeluang mendapatkan barangan serta keperluan sekolah bernilai RM150 setiap seorang pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Kembali Ke Sekolah.

Pengarang Eksekutif Projek Khas The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Othman Mamat berkata, program yang diadakan di bandar raya Ipoh ini adalah penutup tirai TKHM bagi tahun ini.


LEE (tengah) bersama Othman (kiri) menyampaikan kelengkapan dan pakaian sekolah kepada penerima pada program Titipan Kasih (TKHM) Khas Harian Metro 'Kembali Ke Sekolah' di Pasaraya Besar Giant Falim, Ipoh, hari ini. Foto MUHAIZAN YAHYA

“TKHM Kembali Ke Sekolah ini ditaja sepenuhnya oleh Pasaraya Besar Giant. Seramai 200 murid dan pelajar dari dua sekolah diberikan peruntukan RM150 setiap seorang untuk membeli kelengkapan persekolahan.

“Murid dan pelajar ini dipilih daripada golongan B40 iaitu keluarga berpendapatan rendah, anak yatim untuk disantuni pada program ini bagi memberikan mereka merasai kegembiraan untuk memulakan sesi persekolahan," katanya yang ditemui pada program itu, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Kawasan Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak, Giant Malaysia Lee Thang Yean, Pengurus Kanan Perhubungan Awam, CSR dan Komunikasi Giant Malaysia Mohd Nasrulhanis Ruslan dan Ketua Biro NSTP Perak Jalal Ali Mohd Abdul Rahim.

Othman yang juga Pengerusi Titipan Kasih Harian Metro, berkata pihaknya berterima kasih kepada Pasaraya Giant yang tidak pernah jemu menaja dan bekerjasama dengan Harian Metro dalam menganjurkan program amal serta semua penaja lain yang turut terbabit.


SUKARELAWAN membantu penerima bantuan memilih barangan dan kelengkankangan sekolah. Foto MUHAIZAN YAHYA

Katanya, pihaknya turut mendapat tajaan kenderaan daripada Honda Motor Malaysia, tajaan bas daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), tajaan penginapan daripada Hotel Syeun dan Hotel Tower Regency serta tajaan makan malam oleh EXCO kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Sementara itu, Mohd Nasrulhanis berkata, pihaknya akan terus menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan memerlukan sebagai cara untuk berkongsi rezeki diperoleh syarikat berkenaan.

Menurutnya, pelbagai aktiviti sudah diadakan, malah kerjasama dalam program TKHM Kembali Ke Sekolah itu bukanlah pertama kali diadakan.

Katanya, pihaknya sudah beberapa kali mengadakan program bersama Harian Metro dan pada kali ini memilih stor Giant di Falim yang baru dibuka awal tahun ini sebagai lokasi penganjuran sekali gus dapat berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan di kawasan sekitarnya.


PENERIMA memilih kelengkapan persekolahan masing-masing. Foto MUHAIZAN YAHYA

“Pada program kali ini, selain sukarelawan daripada Harian Metro, Giant turut membawa Sukarelawan Big Hearted Giant seramai 15 orang untuk membantu peserta memilih kelengkapan persekolahan.

“Giant berharap sumbangan diberikan ini dapat meringankan beban ditanggung golongan memerlukan dan ia sebagai cara Giant berkongsi rezeki,” katanya.

Menurutnya, Giant turut mengadakan beberapa program CSR lain dan yang terbaru adalah Program Food Bank Malaysia di Kelantan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Harian Metro dalam program amal lain pada masa depan, dan CSR sentiasa dijadikan kewajipan pihaknya bagi membantu golongan memerlukan.

“Insya-Allah, jika ada peluang kita akan bekerjasama lagi dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan serta berkongsi rezeki bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 9:10 PM