BUAYA tembaga sepanjang kira-kira 2 meter berjaya dilepaskan dari pukat rawai selepas ditarik naik ke pantai oleh pasukan penyelamat di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru. FOTO Khairunisah Lokman
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


KEJADIAN buaya tembaga terlepas ketika cuba ditangkap di Pantai Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, pagi semalam tidak menghalang pelancong mengunjungi kawasan pantai, hari ini.

Tinjauan NSTP di sepanjang kira-kira 20 kilometer pantai dari Kuala Linggi hingga Tanjung Bidara, termasuk Kuala Sungai Baru mendapati ia tetap tidak sunyi daripada dikunjungi pelancong.

Kebanyakan pelancong yang ditemui berkata, mereka tidak tahu mengenai kejadian itu dan hanya mengetahuinya apabila diajukan soalan.

Suraya Abdul Manaf, 35, berkata, dia menginap di inap desa di Pantai Telok Gong bersama tiga ahli keluarganya malam tadi dan tidak tahu buaya terlepas ketika cuba ditangkap anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri semalam.

“Saya tak sempat buka laman web pelbagai akhbar pagi ini untuk mengetahui perkembangan semasa dan kejadian itu agak membimbangkan, tetapi kami tetap mandi-manda di pantai ini.

“Kami berdoa tidak ditimpa apa-apa musibah ketika berkelah di pantai ini,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Sulaiman Mohd Ali, 48, yang datang ke Pantai Pengkalan Balak bersama enam ahli keluarganya pula berkata, dia tahu mengenai kejadian itu melalui media sosial, tetapi tidak mengambil berat mengenainya kerana yakin reptilia itu sudah bergerak jauh dari pantai yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Memanglah kita takut buaya, tetapi setakat ini kami belum dengar ada pelancong dibaham buaya di pantai ini,” katanya yang datang dari Kuantan, Pahang.

Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira 3.5 meter yang tersangkut pada mata kail rawai nelayan terlepas ketika operasi menarik reptilia itu ke Pantai Kampung Tengah.

Haiwan itu dikatakan terperangkap pada mata kail rawai pada jarak satu batu nautika dari pantai berkenaan sejak pagi Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 12:02 PM