FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


TEMPOH reman terhadap pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) yang dipercayai terbabit dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, dilanjutkan selama empat hari lagi.

Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman sehingga Selasa ini bagi meneruskan siasatan terhadap lelaki berusia 38 itu.

Ia selepas tempoh remannya tamat pada hari ini.

Sementara itu, perintah reman turut dikeluarkan terhadap enam lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan yang dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan sama.

Kesemuanya yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu direman selama lima hari sehingga Selasa ini.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Setakat ini, 37 orang sudah ditahan reman termasuk tiga pekerja syarikat pemaju One City bagi membantu siasatan kejadian rusuhan itu.

Ia termasuk individu terbabit dengan kejadian di perkarangan kuil berkenaan serta kawasan pusat beli- belah One City, pada awal Isnin dan Selasa lalu.

Dalam kejadian awal pagi itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah selepas diserang perusuh.

Dia yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dilaporkan masih dalam keadaan kritikal, namun menunjukkan perkembangan baik.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 2:46 PM