LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas selesai proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Ia susulan keputusan SPR untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya berhubung petisyen Pilihan Raya DUN Rantau.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata Mahkamah Persekutuan memiliki tempoh sehingga enam bulan untuk memutuskan mengenai rayuan berkenaan, namun beliau yakin ia akan selesai lebih awal daripada tempoh berkenaan.

“Tidak boleh umum lagi (tarikh PRK DUN Rantau) sebab ada rayuan, jadi kena tunggu rayuan selesai.

“Mahkamah Persekutuan ada enam bulan untuk buat keputusan mengenai rayuan itu, tetapi kebiasaannya mahkamah akan putuskan lebih awal," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pembukaan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya: Langkah Ke Depan Untuk Pilihan Raya Yang Bebas dan Adil di Parlimen, hari ini.

Rabu lalu, SPR memutuskan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya selepas meneliti penghakiman lisan dalam kes petisyen pilihan raya DUN Rantau dan mengambil kira nasihat peguam.

Ia khususnya mengenai kesan beberapa dapatan fakta dan undang-undang terhadap petugas dan SPR sendiri kepada operasi dan perjalanan pilihan raya di masa akan datang.

Bagaimanapun, rayuan itu tidak membabitkan pembatalan keputusan pilihan raya DUN Rantau semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi DUN Rantau pada PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.

Azhar berkata, beberapa dapatan fakta dan undang-undang itu akan diperjelaskan ketika SPR memfailkan memorandum rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 12:10 PM