Zairil (tengah) dan Angeline (dua dari kiri) bergambar bersama selepas sidang media mengenai program Penang HOHO bersama Pelayar-Pelayar Comel Tanjong Bunga di KOMTAR, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


MURID dari enam sekolah rendah di Georgetown berpeluang meluangkan musim cuti dengan mengunjungi beberapa tempat menarik menerusi program Pelayar-Pelayar Comel Tanjong Bunga.

Seramai 120 murid tahun lima dan enam terbabit akan dibawa bersiar-siar menaiki bas pelancongan Penang Hop On Hop Off (HOHO) menerusi program selama tiga hari pada 3 hingga 5 Disember ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari berkata aktiviti berkenaan ditaja Pejabat KADUN Tanjong Bunga dengan kerjasama syarikat bas terbabit, Elang Wah Sdn Bhd.

Beliau berkata, murid terbabit akan dibawa bersiar-siar menerusi laluan bandar raya selain melawat beberapa lokasi sambil menjalankan aktiviti interaktif.

“Bukan sahaja mereka dapat manfaatkan masa cuti sekolah dengan lebih produktif, tetapi dapat menambahkan pengalaman serta pengetahuan am mengenai Pulau Pinang.

“Ini adalah program julung kali diadakan dan mungkin kami dapat buat penambahbaikan bagi penganjuran pada masa depan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Jualan dan Pemasaran Penang HOHO, Angeline Chen.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong, SK Batu Feringgi, SK Tanjung Bunga, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hun Bin, SJKC Poay Wah dan SJKC Pai Chai.

Sementara itu, Angeline berkata, program berkenaan akan bermula di Kilang Batik, Teluk Bahang sebelum ke Muzium Wonderfood menerusi laluan Fort Cornwallis.

“Rombongan berkenaan akan melawat Armenian Street Art dan Butik Coklat di Jalan Kelawai.

“Program berkenaan bermula pada 10 pagi dan mengambil masa selama tiga jam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 10:22 PM