KENDERAAN dinaiki Mahdzir memasuki pekarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini. Foto MOHD FADLI HAMZAH
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


BEKAS Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan lebih lapan jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Sumber berkata, Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Naib Presiden UMNO itu dipanggil ke SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Katanya, kereta Mercedes-Benz dinaiki Mahdzir memasuki ibu pejabat SPRM jam 10 pagi hari ini, sebelum dilihat keluar pada jam 6.15 petang.

“Setakat, ini tidak ada maklumat sama ada beliau akan didakwa atau tidak, esok,” katanya.

Terdahulu, Presiden Pemantau Malaysia Baharu Datuk Lokman Adam menerusi WhatsApp memaklumkan perhimpunan solidariti bersama Mahdzir di perkarangan ibu pejabat SPRM, malam ini dibatalkan selepas peguam Mahdzir memaklumkan beliau dibenarkan pulang selepas memberi keterangan.

Sebelum ini, laporan media yang memetik sumber mendakwa seorang bekas menteri bakal ditahan SPRM, hari ini sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Difahamkan, bekas menteri terbabit dijanjikan habuan berjumlah jutaan ringgit untuk Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak, namun hanya menerima RM50,000 sahaja.

Secara keseluruhan, projek berkenaan bernilai RM1.25 billion dengan rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 15 November lalu, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menerima rasuah berkaitan dengan projek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:32 PM