PEGAWAI KDRM mengiringi tertuduh di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. FOTO Ihsan JKDM
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


PENIAGA kedai runcit dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini kerana menyimpan 47,160 batang rokok seludup bernilai RM6,330.40.

Malah, tertuduh Nawin Epon, 26, turut berdepan hukuman penjara satu tahun lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan sebanyak 2,740 paket (47,160 batang rokok kretek dan putih) di premis kediaman Taman Desa Permai, Kemaman, jam 1.30 tengah hari pada 2 Julai 2017.

Kesemua rokok itu adalah barang-barang yang dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 6:31 PM