Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) akan dilanjutkan sehingga 1 pagi pada Sabtu ini sebagai tanda sokongan kepada peminat bola sepak Harimau Malaya bagi menyaksikan pertemuan antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lanjutan perkhidmatan itu dibuat selepas pihaknya menjangkakan kehadiran peminat bola sepak yang lebih tinggi berbanding ketika Malaysia menentang Myanmar pada 13 Oktober lalu.

Menurut Rapid KL, jumlah penumpang bagi menyaksikan perlawanan bola sepak itu dijangka lebih besar ekoran langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengurangkan harga tiket perlawanan.

“Bersempena perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu ini, stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga 1 pagi.

“Stesen LRT dan MRT (Transit Aliran Massa) lain akan ditutup seperti biasa tetapi memberi laluan untuk semua penumpang untuk keluar di stesen berkenaan dan meneruskan perjalanan masing-masing

“Penumpang boleh bertukar laluan di stesen integrasi sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat/Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT atau di Masjid Jamek untuk ke Laluan Kelana Jaya,” menurut kenyataan itu.

Bagi mengelakkan kesesakan, Rapid KL menyarankan supaya orang ramai menggunakan kemudahan pengangkutan awam khususnya LRT Laluan Sri Petaling yang akan membawa mereka terus ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“LRT Laluan Sri Petaling berintegrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen MRT Putra Heights dan Masjid Jamek serta berintegrasi dengan MRT Laluan Sungai Buloh - Kajang di Stesen MRT (Keretapi Tanah Melayu) Merdeka yang berhubung dengan Stesen LRT Plaza Rakyat.

“Ia juga berhubung dengan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan sekali gus menjadikan penggunaan pengangkutan rel urban sebagai pilihan terbaik untuk keselesaan dan kemudahan ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Langkah terbaik untuk peminat adalah menggunakan fasiliti park ‘n ride di sepanjang Laluan Sri Petaling khususnya di stesen-stesen Putra Heights, Awan Besar, Muhibbah, Kinrara BK5, IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan lalu meneruskan perjalanan menggunakan LRT ke Bukit Jalil,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai disarankan untuk mengikuti hebahan di Facebook RapidKL atau layari laman sesawang www.myrapid.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 10:41 AM