SUBROMANIAM (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan pil dan dadah dirampas pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM Dengkil di Sepang, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan pil Tramadol dan pil lain yang tidak berdaftar dianggarkan bernilai hampir RM22 juta di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 12 dan 20 September lalu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam berkata, rampasan dibuat Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM itu membabitkan penahanan lapan kontena mengandungi 122.62 juta biji pil Tramadol kekuatan tinggi dan 600 liter cecair Tramadol serta 38.832 juta biji pil lain dan 350 liter ubat berbentuk cecair tidak berdaftar.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas semua kontena dibuat pada 10 Oktober hingga 1 November lalu dan ia diikrarkan ubatan biasa dan barangan am.

“Semua kontena ini datang dari Pelabuhan Nhava Sheva, India dan Malaysia sebagai transit sebelum ke Nigeria, namun kita turut menjalankan siasatan sama ada berkemungkinan untuk pasaran domestik.

“Jadi, siasatan masih dibuat ke atas syarikat perkapalan berkenaan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM Dengkil di Sepang, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata, kes kedua membabitkan sindiket pengedaran dadah jenis ekstasi yang berjaya ditumpaskan JKDM bernilai hampir RM1.5 juta.

Beliau berkata, serbuan itu dibuat di dua lokasi berasingan pada 19 dan 26 November lalu di Poslaju Glenmarie, Shah Alam dan di Poslaju Balakong.

“Dalam serbuan di Shah Alam, seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun ditahan dan pihaknya berjaya merampas bungkusan mengandungi 24,630 biji pil ekstasi.

“Bungkusan antarabangsa yang dituntut oleh lelaki itu dikirimkan dari Jerman dan diikrarkan sebagai coklat,” katanya.

Untuk serbuan di Balakong, beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 34 tahun ditahan dan pihaknya merampas bungkusan antarabangsa mengandungi 24,300 biji pil ekstasi.

Katanya, semua suspek direman hingga 30 November dan 3 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 9:53 PM