KAPAL mewah 'The Equanimity'. FOTO Saddam Yusoff
Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Kewangan tidak boleh mendedahkan siapa dan jumlah pembida yang setakat ini sudah membuat bidaan untuk membeli kapal layar mewah Equanimity.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, segala pengumuman mengenai maklumat pembina bukan tertakluk bawah kuasa kementeriannya.

Sebaliknya, beliau berkata, pihak bertanggungjawab menguruskan hal ehwal termasuk bidaan kapal mewah yang didakwa menggunakan dana diseleweng daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) itu adalah Pejabat Peguam Negara.

“Sila semak dengan AG (Peguam Negara).

“(Hal kapal layar Equanimity) Bukan bawah saya sekarang. Ia bawah bidang kuasa AG. Saya tidak lagi boleh komen sekarang... minta maaf," katanya selepas melancarkan buku biografi 'Siapa Itu Mohamad Sabu' di Petaling Jaya, hari ini.

Guan Eng berkata demikian mengulas proses pembidaan bagi kapal mewah Equanimity yang tamat pada hari ini.

Proses pembidaan kapal itu bermula 28 Oktober lalu seperti yang dimaklumkan oleh peguam bagi 1MDB, Ong Chee Kwan.

Ong berkata, ia selepas Mahkamah Admiralti yang meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan selama sebulan.

Menurut beliau, mereka yang berminat untuk membei kapal mewah itu perlu membayar deposit sebanyak AS$ 1 juta (kira-kira RM4.17 juta).

“Bagi pembida yang berkelayakan, mereka berpeluang melihat keadaan kapal mewah yang berharga AS$250 juta (RM1.42 bilion) itu dan satu tarikh akan ditetapkan bagi tujuan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 3:05 PM