Aliran trafikdi Persiaran Kewajipan menghala ke arah Shah Alam di hadapan Kuil Sri Mariamman, lancar.FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Siti Nur Mas Erah Amran
cnews@nstp.com.my


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti dan mengumpul maklumat palsu berhubung rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, yang disebar menerusi media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, SKMM memantau setiap perbualan serta perbincangan yang dimuat naik sebelum tindakan tegas diambil jika perlu.

“Maklumat terperinci sedang dikumpul dan SKMM akan berikan kepada saya dalam masa terdekat.

“Kita minta orang ramai berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan berwaspada berkongsi maklumat menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan sebagainya.

“Kita kena faham keadaan sekarang dan jangan lakukan sesuatu yang boleh menyemarakkan masalah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pelantikan Anggota Lembaga Pengarah baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan dimuktamadkan minggu ini.

“Selain lembaga pengarah, badan penasihat juga dilantik untuk melancarkan pentadbiran.

“Mesyuarat dilakukan Isnin lalu dan saya akan menemui ahli lembaga pengarah dalam masa terdekat.

“Pelantikan lembaga pengarah, badan penasihat, ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah akan diselesaikan minggu ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob dan timbalannya, Datuk Azmir Saifudin Mutalib, ditukarkan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sementara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 2:53 PM