Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


TINDAKAN lelaki yang memukul wanita dengan topi keledar kelmarin kerana menuduh mangsa sombong, mengundang padah apabila dia ditahan polis di Padang Serai, Kulim, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, ketika kejadian 10.15 malam itu, mangsa berusia 55 tahun sedang meracun rumput di tepi jalan Kampung Ujung, Padang Serai selepas diupah oleh adik suspek.

Menurutnya, suspek berusia 53 tahun kemudian datang dan bertanya siapa yang mengarahkan dia melakukan kerja itu sebelum berlaku perselisihan faham.

“Malah suspek yang tidak berpuas hati dan menuduh mangsa sombong terus memukulnya dengan topi keledar di kepala dan tangan kiri menyebabkan dia mengalami bengkak di kepala dan pergelangan tangan kiri.

“Siasatan juga mendapati, suspek pernah mengugut mangsa supaya tidak mengacau kawasannya pada bulan lalu dan turut memukulnya sebelum melarikan diri,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Padang Serai untuk tindakan selanjutnya.

“Sebaik menerima laporan itu, polis mengesan suspek sebelum menahannya 4 pagi tadi di rumahnya di Kampung Hujung Padang untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal dia mengaku terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 10:04 AM