GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my


SEORANG bekas Menteri dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis ini bagi siasatan kes meminta dan menerima rasuah berhubung projek solar hibrid untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Sumber berkata, individu terbabit yang memegang jawatan kanan dalam UMNO serta seorang Ahli Parlimen juga dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen pada keesokkannya.

“Pada mulanya, bekas menteri terbabit dijanjikan habuan berjumlah jutaan ringgit untuk Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak, namun akhirnya hanya menerima RM50,000 sahaja.

“Secara keseluruhan projek bernilai RM1.25 billion berkenaan dibuat secara rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Katanya, kedua-dua kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Selain bekas menteri itu, terdapat individu lain yang akan didakwa atas kesalahan meminta wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Pada 15 November lalu, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa bersama bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor atas dakwaan menerima rasuah berkaitan dengan projek itu.

Rosmah dikatakan cuba memperoleh RM187.5 juta daripada Saidi antara Mac dan April 2016, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak yang ditawarkan sebagai dorongan untuk membantu syarikat memperoleh projek melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Isteri bekas Perdana Menteri itu juga didakwa menerima suapan sebanyak RM1.5 juta daripada Saidi untuk membantu beliau memperoleh kontrak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:22 PM