Jawahar Ali (tengah) bersama Sharifah Hayaati dan Rosyam Noor (kiri) bersama anugerah masing-masing pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan. FOTO Zunnur Al Shafiq
Latifah Arifin
latifah@bh.com.my

AHLI perniagaan berjaya yang juga Pengarah Urusan Ali Maju Sdn Bhd, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, 53, dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan.

Jawahar Ali berkata, penganugerahan itu di luar jangkaannya dan dianggap sebagai peluang untuk terus berkongsi rezeki serta pengalaman dengan masyarakat sambil menyumbang demi pembangunan agama.

“Saya berhijrah di ibu kota pada April, 1994 bersama isteri dan dua anak dengan berbekalkan cuma RM600.

“Tiga tahun kemudian saya berdikari dan memulakan perniagaan restoran Ali Maju Cafe di Pusat Bandar Damansara serta tiga tahun selepas itu membuka kelas pengajian al-Quran secara percuma.

“Allah SWT juga menzahirkan impian saya untuk membuka pusat tahfiz yang beroperasi di Taman Seri Rampai, Wangsa Maju dan ini adalah berkat doa serta sokongan semua,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur, hari ini.

Jawahar Ali berkata, penganugerahan itu boleh diibaratkan suntikan semangat untuk terus membantu dan menyumbang khususnya kepada umat Islam yang memerlukan.

“Saya percaya di akhirat kelak, setiap satu sen yang Allah SWT berikan perlu dijawab ke mana wang berkenaan dibelanjakan.

“Ada juga yang bertanya rahsia kejayaan, adakah kerana menggunakan pelaris. Pada saya, tidak perlu itu semua, sebaliknya apa yang penting memperoleh keberkatan Allah SWT,” katanya.

Anugerah Tokoh Maulidur Rasul yang diterima membolehkan anak jati Pulau Pinang itu menerima hadiah wang tunai RM8,000, pakej umrah bernilai RM7,000, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, selebriti popular, Datuk Mohamed Noor Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Individu.

Rosyam berkata, penganugerahan yang diberikan itu adalah tanggungjawab besar khususnya untuk menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.

“Saya melihat ada ramai lagi rakan selebriti yang memperjuangkan agama dan mempromosikan bidang keagamaan kepada masyarakat, malah mungkin ada melakukannya dengan lebih baik lagi.

“Jadi, dengan bakat yang Allah SWT berikan, saranan saya kepada rakan selebriti lain adalah menggunakan populariti yang ada untuk tujuan dakwah.

“Antara hasrat saya adalah dapat membuka kerjasama lebih erat dengan jabatan agama supaya dapat meluaskan dakwah secara lebih menyeluruh,” katanya.

Selain Rosyam, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Qudsy turut menerima penganugerahan sama yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan.

Lima organisasi turut menerima penganugerahan, iaitu Anugerah Badan atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Terbaik yang diberikan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Masjid Terbaik (Masjid Usamah Bin Zaid); Rumah Kebajikan Islam Terbaik (Darul Ilmi); Surau Sekolah Terbaik (Surau Khadijah Binti Khuwailid) dan Maahad Tahfiz atau Sekolah Agama Swasta Terbaik (Sekolah Menengah Islam IQKL).

From: Nazmi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:50 PM