Bekas sarjan tentera cuba mengelak dari gambarnya dirakam jurugambar selepas dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Junita Mat Rasid
junita@nstp.com.my


BEKAS sarjan tentera dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan merogol dan meliwat anak kandungnya yang berusia 17 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sewanya, di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, jam 2 pagi pada 15 Mac 2016.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan ke atas remaja berkenaan tanpa kerelaan sambil menggunakan kekerasan jenayah dengan meletakkan pedang samurai di leher mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan seks oral terhadap mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik dan kesalahan dituduh mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Jailani Rahman menjatuhkan hukuman 18 tahun bermula daripada tarikh hukuman disabitkan dan 10 sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua dikenakan hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan.

Bagaimanapun, hukuman penjara diperintahkan dijalankan serentak, menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 18 tahun dan 15 sebatan.

Terdahulu dalam rayuan, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf, selain kesalahan itu adalah yang pertama.

Tertuduh yang mempunyai tiga anak daripada perkahwinan terdahulu dan seorang bayi berusia dua bulan hasil perkahwinan terbaru, juga memaklumkan kehilangan pencen dan gratuiti selepas diberhentikan kerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin, dalam hujahnya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan serius, selain menyebabkan kesan trauma dan psikologi terhadap mangsa yang juga anak kandung yang sepatutnya dilindungi oleh tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 5:37 PM