GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


KANAK-KANAK lelaki berusia sembilan tahun maut selepas basikal yang ditunggangnya dilanggar kereta di Kuala Besar, Kota Bharu, 3.45 petang semalam

Mangsa Wan Adi Airiel Wan Azman, 9, maut selepas parah di kepala dan badan.

Mayat murid Tahun Tiga itu kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Pemandu kereta Perodua Myvi yang juga jurujual wanita berusia 23 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian pemandu kereta wanita dalam perjalanan dari arah Kuala Besar menghala ke Kota Bharu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu melihat kanak-kanak lelaki menunggang di arah laluannya.

“Secara tiba-tiba penunggang basikal itu melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan dibawa ke Klinik Kesihatan Badang untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia 4.05 petang,” katanya ketika ditemui selepas Program Sambutan Maulidur Rasul peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu yang disertai 200 orang di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik HRPZ II di sini untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 11:40 AM