FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


DALAM tempoh tiga hari pemberian diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman trafik, sebanyak lebih RM1.1 juta saman dijelaskan orang ramai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pemberian potongan yang ditawarkan sempena program Plaza Pelangi Biker’s Gathering itu berjaya menarik orang ramai menjelaskan saman mereka.

“Pada hari pertama iaitu Jumaat lalu, kita berjaya mengutip RM334,080 membabitkan 2,919 saman dengan anggaran seramai 700 orang kena saman (OKS).

“Hari kedua pula, sebanyak RM393,980 dikutip membabitkan 3,429 saman dan kira-kira 560 OKS, manakala hari ketiga iaitu semalam, sebanyak RM404,980 dikutip dengan 3,586 saman dan 740 OKS,” katanya dalam satu kenyataan media di Johor Bahru, hari ini.

Pada Jumaat hingga semalam, Polis Johor membuka kaunter semakan dan bayaran saman dengan menawarkan diskaun 50 peratus sempena program anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor dengan usahasama Brother Motor Johor.

Kaunter yang dibuka selama tiga hari di Plaza Pelangi di Johor Bahru, bermula 10 pagi hingga 8 malam.

Semua saman layak mendapat diskaun ditawarkan kecuali saman kemalangan tahun semasa, saman berstatus tiada kompaun, saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman Op Selamat tahun semasa, saman berstatus mahkamah dan saman berkaitan lori.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:51 PM