KAMPUNG Hujung Bandar, SIk Kedah. MD PLUS bersama orang kampung

PLUS

Program komuniti membabitkan lebih 1,000 warga kerja PLUS Malaysia Berhad (PLUS), sempena Hari Komuniti PLUS 2018 yang dijalankan serentak di 25 lokasi di seluruh negara, baru-baru ini.

Ia memberi peluang kepada PLUS untuk menyalurkan bantuan dan menyumbang semula kepada masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar ini.

Program ini turut menggalakkan budaya sukarelawan dan menanamkan semangat berpasukan dan PLUS memperuntukkan sebanyak RM1 juta secara keseluruhan untuk menjayakan aktiviti kemasyarakatan Hari Komunti PLUS kali ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, program kemasyarakatan itu juga bertepatan dengan matlamat PLUS memberikan pengalaman positif dan luar biasa untuk komuniti sekeliling di mana syarikat ini beroperasi.

“PLUS bukan sahaja mahu dikenali sebagai operator lebuh raya tetapi turut dikenali sebagai organisasi yang memberi manfaat dan impak sosial yang positif kepada masyarakat sekeliling.

“PLUS secara berterusan menganjurkan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), antaranya Program ‘Kembali ke Sekolah’, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan sebagainya yang berteraskan komuniti di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Komuniti PLUS 2018 di Sik, Kedah.

Sejak tahun 2013, satu hari khusus dipilih untuk PLUS dan kakitangannya menjalankan pelbagai program kemasyarakatan di pelbagai lokasi di seluruh negara secara serentak.


WAD Kanak-kanak HKL

“Warga kerja PLUS turun padang menjalankan pelbagai program komuniti seperti kerja membaik pulih kemudahan masjid, membaik pulih kemudahan pusat tahfiz dan rumah anak yatim, menaik taraf perpustakaan desa, mengedarkan makanan untuk anak Chow Kit serta lain-lain lagi,” katanya.

Program kemasyarakatan itu diadakan serentak di Kuala Kangsar dan Bagan Serai di Perak, Paka (Terengganu), Shah Alam dan Banting (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Melaka, Batu Pahat (Johor) dan kawasan lain.

Sementara itu, komuniti yang dikunjungi PLUS dan mendapat manfaat program kemasyarakatan berkenaan, gembira dan memuji usaha dilakukan.

Imam 2, Masjid Ar-Ridhwan, Kampung Hujung Bandar, Sik Kedah, Ismail Ibrahim, berkata, kedatangan kakitangan PLUS menjalankan aktiviti kemasyarakatan amat hargai.

“Sumbangan PLUS menaik taraf infrastruktur dan kemudahan di kampung memberikan manfaat serta boleh dikongsi dengan sebaik-baiknya bersama 1,700 kariah masjid yang berada di sekitar kampung ini,” katanya.


WAD Kanak-kanak HKL

Ahli Khidmat, Madrasah Darul Uloom Al-Mustafa, Paya Jaras, Khairul Asraf Abdul Aziz juga berbesar hati kerana pihak korporat seperti PLUS tampil menghulurkan bantuan dan tenaga kepada madrasah mereka.

“Di madrasah ini, kami menyelia seramai 31 pelajar lelaki. Kami berharap dengan usaha murni ini dapat membantu anak ini menjadi pelajar cemerlang dari segi agama dan akhlak,” katanya.

Begitu juga, Tenaga Pengajar, Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur, Siti Rahayu Baharin yang memberitahu, kehadiran pihak PLUS berjaya menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Dengan mengadakan aktiviti bersama seperti melukis, mewarna dan permainan, anak ini berasa gembira kerana ada pihak yang sudi meluangkan masa menyalurkan khidmat masyarakat kepada mereka.

“Kami terharu kerana PLUS sudi menyampaikan sumbangan, mengadakan pemeriksaan asas kesihatan berserta vaksin dengan kerjasama Damai Service Hospital (DSH) di samping menyediakan makanan kepada anak Chow Kit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 10:39 AM