NOTIS gangguan bekalan air berikutan tebing loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Linggi runtuh akibat banjir kilat. Foto HAZREEN MOHAMAD
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@nstp.com.my


TEBING di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, runtuh sekali lagi mengakibatkan gangguan bekalan air di sebahagian Seremban, Port Dickson dan Rembau dijangka berlarutan sehingga Selasa ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail berkata, loji itu terpaksa ditutup semula berikutan kejadian tebing runtuh yang berulang hari ini.

Katanya, ketika ini kerja baik pulih sedang dijalankan pihaknya serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri selepas tebing itu runtuh buat kali pertama, Khamis lalu.

“Penutupan loji kali ini akan mengakibatkan gangguan melebihi 48 jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara kawasan terjejas di Seremban ialah Taman Pinggiran Senawang; Hentian Senawang; Senawang Perdana; RTM; Taman Ulu Lalang; Kampung Solok; Kampung Ribu; Kampung Sega Hilir; Jalan Kuala Sawah; Kampung Nyatoh; Rumah Rakyat Nyatoh; Taman Bandar Ekar; Pekan Rantau; Taman Rantau; Jalan Air Kuning; Taman Permata; Kampung Siliau dan Kampung Sungai Sendayan.

Di Rembau pula, Taman Chembong Utama; IPD Chembong; Sekolah Teknik Chembong; Ladang Batu Hampar; Halal Park; Kampung Pedas; Taman Pinggiran Pedas; Kampung Minching; Taman Pedas Indah; Kampung Sungai Ibor; Kampung Seberang Batu 2; Kampung Sungai Batu; Kampung Sungai Lalah; Taman Pedas Perdana.

Jalan Mungkal, Jalan Tok Nara; Jalan Ampang Batu; Jalan Mungkal Tobek; Jalan Tok Menteri; Jalan Tok Samad; Jalan Bunga Raya, Jalan Dato’ Keramat, Taman Exora dan Kundur turut terjejas.

Beberapa kawasan di Port Dickson yang terjejas termasuk Taman PD Perdana; Batu 4; Batu 5; Batu 6; seluruh kawasan Pekan Lukut sehingga kawasan Bandar Springhill; Tanah Merah Site C; seluruh kawasan pekan Port Dickson; Bukit Pelandok dan Chuah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, gangguan bekalan air menyebabkan pengusaha hotel terpaksa mengeluarkan peruntukan besar kerana perlu menyewa lori tangki untuk mengambil bekalan air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:29 PM