GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


DUA lelaki maut selepas motosikal dinaiki melanggar lembu sebelum dirempuh kereta di Kampung Simpang Cabang Tinggi, Sabak, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, penunggang motosikal, Muhammad Aideed Mohd Roslan dan pembonceng, Muhammad Emdy Syazwan Md Norrizan masing-masing 17 tahun maut di tempat kejadian.

penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berusia 17 tahun maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Sabak menghala ke Pengkalan Chepa.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa melanggar seekor lembu sebelum terbabas dan jatuh di laluan bertentangan.

“Sebuah Toyota Vios yang tidak sempat memberhentikan kenderaan melanggar kedua-dua mangsa.

“Mereka yang parah di kepala dan badan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:06 AM