Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


JABATAN Audit Negara Malaysia (JANM) mengesahkan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, fakta itu diminta disembunyikan atas arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui ketua setiausaha sulit beliau ketika itu dilakukan dengan menggugurkan beberapa perenggan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, menurut kenyataan dikeluarkan JANM, semalam.

Malah, terdapat dua pengguguran penting yang dilakukan iaitu berkaitan status akaun kewangan 1MDB dan mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Beberapa bekas tokoh kerajaan yang penting, termasuk bekas ketua setiausaha sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang turut dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan JANM itu.

Selain itu, ia juga membabitkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda yang mempunyai kapasiti membuat keputusan penting berhubung proses pengguguran fakta dalam Laporan Audit 1MDB.

Dalam kenyataan JANM memaklumkan pada 20 Februari 2016, Shukry meminta JANM membentangkan laporan audit akhir mengenai 1MDB kepada Perdana Menteri bagi perbincangan lanjut dan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Bagimanapun, JANM mendakwa mesyuarat PAC yang pada asalnya dijadual diadakan pada 24 Februari 2016, ditangguh hingga ke 4 dan 7 Mac 2016 bagi memberi masa kepada JANM membuat pindaan-pindaan disebabkan perlunya membuat pindaan serta pengguguran fakta daripada laporan audit 1MDB.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang mempunyai penyembunyian fakta itu kemudiannya dibentangkan kepada PAC pada 4 dan 7 Mac 2016.

Pada 22 Februari 2016, Najib, melalui Shukri, mengarahkan dua perenggan digugurkan daripada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB berkaitan dengan fakta mengenai akaun kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Disember 2014.

Menurut kenyataan itu, alasan diberikan Shukry untuk menggugurkan dua perenggan itu adalah bagi membenarkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa. JANM mengklasifikasikan 1MDB sebagai sebuah ‘krisis’ pada 23 Februari 2016,

JANM juga mendakwa bahawa Najib mengarahkan satu lagi fakta untuk disembunyikan berkaitan Jho Low menghadiri mesyuarat 1MDB.

Dalam satu mesyuarat pada 24 Februari 2016 yang dihadiri Ali, Shukry, Ambrin dan Arul, bersama wakil Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan, JANM mendakwa terdapat beberapa lagi perenggan dan petikan lain diminta dipinda dan digugurkan.

Pasukan audit 1MDB diarahkan Ali untuk menghadiri mesyuarat di pejabat beliau bersama Arul bagi membincangkan maklumat lanjut mengenai Laporan Akhir Pengauditan 1MDB pada 25 Februari 2016.

Kenyataan JANM mendakwa bahawa Shukry, atas arahan Najib, mengarahkan bekas pengarah audit untuk membuang satu perenggan yang membuktikan bahawa Jho Low ada menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Shukry mendakwa penyembunyian fakta itu adalah penting dan sensitif dan harus dibuat bagi mengelakkan pihak pembangkang memanipulasikan isu berkenaan.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda untuk mengecualikan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB dan dokumen yang dipinda itu kemudian diserahkan kepada Ali untuk tindakan lanjut pada 28 Februari 2016.

Pada 1 Mac 2016, Ali sekali lagi memanggil pasukan Audit ke pejabatnya untuk membincangkan dokumen laporan audit terbabit. Menurut JANM, hanya ada dua individu yang hadir, iaitu Arul dan Ali sendiri dalam sesi itu.

Kedua-dua Arul dan Ali dilaporkan meneliti dokumen akhir membabitkan peninggalan dan/atau pindaan selanjutnya turut diperintahkan dalam pertemuan itu.

Pada 2 Mac 2016, laporan Akhir Pengauditan 1MDB itu dicetak sebelum keesokan harinya iaitu pada 3 Mac 2016, dua salinan laporan diberikan Ali kepada Shukry.

Ambrin membentangkan laporan audit itu di dalam PAC pada 4 dan 7 Mac 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:33 AM