MUSTAFAR menunjukkan simen batu pondok nelayan yang retak akibat hakisan di persisiran Pantai Puteri, Tanjung Kling.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my

Melaka: Masalah hakisan pantai semakin membimbangkan berlaku di kawasan pelancongan terkenal Pantai Puteri yang mengakibatkan hakisan kian menghampiri pondok nelayan dan jualan ikan.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nelayan yang mendakwa mengalami kerugian susulan hasil tangkapan ikan semakin berkurangan malah pukat digunakan turut dilaporkan hilang akibat ombak kuat.

Bagi nelayan, Tan Sin Kuang, 48, keadaan hakisan yang berlaku itu bagaikan beban buat nelayan kerana tugas mereka semakin sukar kerana perlu menolak bot ke darat dalam keadaan hasil tangkapan ikan yang kian berkurangan.

Katanya, hakisan yang berlaku dipercayai sudah melebihi 20 meter ke daratan kawasan daratan menyebabkan nelayan semakin sukar turun ke laut.

“Keadaan ini menyebabkan nelayan sukar turun ke laut. Apabila pulang semula ke darat kami terpaksa pula menolak bot. Walaupun keletihan, kami terpaksa.

“Kesan hakisan ini menyebabkan jaring yang diturunkan lebih banyak sampah berbanding ikan,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri, semalam.

Nelayan, Mustafar Kadir, 54, berkata, hidup nelayan kini sengsara apabila hakisan yang berlaku semakin mengancam.

“Keadaan hakisan ini menyebabkan punca pendapatan nelayan terjejas sedangkan hidup kami bergantung pada hasil laut.

“Masalah ini menyebabkan nasib nelayan terumbang-ambing malah anak-anak juga terkesan kerana mereka memerlukan perbelanjaan sekolah,” katanya.


KEADAAN pantai dipenuhi cebisan pokok rhu yang tumbang akibat hakisan di persisiran Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Mustafar yang sudah 41 tahun menjadi nelayan berkata, hakisan yang berlaku juga menyebabkan dia kerugian kira-kira RM4,000 apabila pukatnya hilang dibawa ombak.

“Saya mewakili nelayan lain berharap kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

“Apa yang diharapkan kami diberikan peruntukan untuk membina jeti bagi memudahkan meletak perahu selain dibuat benteng penahan ombak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, kerajaan negeri harus mengambil serius masalah berkenaan kerana ia bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan, tetapi juga mengambil kira soal keselamatan pengunjung yang sering ke pantai itu untuk beriadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:06 AM